Monday, July 16, 2018

Wau Bulan Kelantan

WAU BULAN 
PRODUK TRADISIONAL 
KELANTAN

    Sejak berkurun lagi permainan wau sangat rapat dengan masyarakat Kelantan. Wau ini juga telah diangkat untuk dijadikan sebagai salah satu tradisi negeri Kelantan. Antara wau yang terkenal ialah Wau Bulan, Wau Kekek, Wau Puyuh, Wau Kebayak dan Jala Budi.

     Perkataan wau ini dipercayai berasal daripada perkataan Kerajaan Melayu Pattani sementelah negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah turut menggunakan perkataan tersebut. Wau Kelantan ini sangat terkenal dengan kehalusan seni ciptaannya dan turut dianggap unik oleh sesetengah masyarakat luar.

wau kekek

kebayak



     Wau-wau ini biasanya akan diterbangkan di udara sebagai permainan di waktu lapang. Negeri-negeri lain di pantai barat dan semenanjung Malaysia menggunakan perkataan layang-layang berbanding wau.
 Antara wau yang paling popular ialah Wau Bulan. Wau Bulan dihasilkan dengan saiz yang lebih besar berbanding wau-wau lain. Bentuknya juga menyerupai bulan sabit di bahagian hadapan dan separa bulat pada bahagian ekornya.

     Apabila diterbangkan wau ini akan kelihatan seperti bulan. Ada juga yang mengatakan perkataan wau timbul daripada bunyi busur apabila ianya diterbangkan di udara. Boleh dikatakan kemunculan Wau Bulan serta wau-wau lain mempunyai pelbagai cerita dan mitosnya yang tersendiri mengikut tempat masing-masing.



wau besar



    Ada yang mengatakan perkataan wau ini berasal daripada bunyi yang dihasilkan oleh wau tersebut. Hal ini telah dibuktikan dalam catatan Tun Seri Lanang ketika Raja Ahmad sedang bermain layang-layang bersama kerabat raja yang lain, daun ibus yang dipasang pada busur menghasilkan bunyi wau secara berirama. Daripada bunyi inilah perkataan wau telah digunakan untuk permainan tersebut. Selain itu, ada juga yang mengatakan asal usul Wau Bulan ini bermula dengan seorang putera Srivijaya yang bernama Dewa Muda. 

    Dewa Muda ingin membuat serangan balas untuk menyatukan kembali kerajaannya. Oleh itu, corak yang ada pada Wau Bulan dikatakan sebagai peta penyerangan dan penaklukan yang berjaya dilakukan oleh Srivijaya kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, lambang Wau Bulan telah dijadikan sebagai lambang Empayar Srivijaya.

     Wau bulan yang mula-mula dihasilkan oleh Dewa Muda mempunyai kepala berbentuk geruda yang melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Kepala Wau Bulan ini dikatakan menjadi lambang roh dan semangat Empayar Srivijaya dan memberi erti asas kebudayaan serta asas peradaban dalam empayar ini.

      Busur wau ini juga memiliki dua belas ragam yang menjadi lambang kepada negeri yang disatukan kembali dalam pusat Empayar Srivijaya. Antara dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Loas-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi.


srivijaya



     Terdapat satu lagi asal usul Wau Bulan yang mana ianya mempunyai kaitan dengan semangat padi. Kisah ini bermula apabila sepasang suami isteri menemui seorang anak perempuan lalu dijadikan sebagai anak angkat mereka. Namun begitu, perasaan cemburu si isteri mula timbul apabila suaminya terlalu sayang dan mengambil berat terhadap anak angkatnya itu sehinggakan setiap hari suaminya akan membawakan makanan kepadanya ketika bermain di rumah padi. 

     Lantaran itu, si isteri mula memukul anak perempuan tersebut sehingga beliau melarikan diri ke arah angin barat. Disebabkan kejadian itu, padi yang ditanam oleh suami isteri tadi tidak berbuah malah diserang penyakit. Oleh kerana bingung dengan nasib yang menimpa padi mereka, suami isteri tersebut telah menemui seorang ahli nujum.

      Mengikut kata-kata ahli nujum tersebut, anak perempuan yang dijumpai oleh mereka sebenarnya ialah semangat padi. Nujum tersebut telah menyuruh mereka untuk membuat satu lembaga yang menyerupai Wau Bulan dan dinaikkan setelah menuai sebagai simbolik untuk memohon ampun terhadap anak perempuan angkat mereka. 




musim menuai



     Di Tanah Melayu pula, Wau Bulan dikatakan berasal dari negara China. Hal ini kerana rekabentuk dan ciri yang ada pada wau di Malaysia mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional di negara China. Namun begitu, kesahihan tarikh serta asal usulnya tidak dapat dipastikan.

      Berkemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia menyerap unsur-unsur kebudayaan China ditambah lagi hubungan baik antara Tanah Melayu dan China telah berlangsung sejak zaman dahulu lagi. Sehingga ke hari ini, permainan wau terutamanya Wau Bulan telah dipopularkan oleh rakyat Pantai Timur dan turut menjadikannya sebagai pertandingan pada masa-masa tertentu.



1 comment:

  1. Assalamualaikum semua reader. maaf post untuk sebelum ini tidak sempurna ada sedikit kesilapan teknikal jadi saya telah mengedit semula untuk post ini. harap maaf!

    ReplyDelete